:: Si Kidal ::

Bahagia pada hati yang tenang...

Monday, January 25, 2010

SUDAH BERPINDAH....

Posted by MOHD NAZRI ABDULLAH

Assalamualaikum...

Atas sebab- sebab tertentu... blog sikidal telah berpindah ke

http://mohdnazriabdullah.blogspot.com

Tuesday, January 19, 2010

Jangan percaya...!

Posted by MOHD NAZRI ABDULLAH


Semalam menyelongkar koleksi barang2 di dalam simpanan..

Tup...tup..terjumpa lah dua barang ini.

Em..pemberian orang dan satunya dibeli sendiri lama dahulu.

Bukan mempercayainya, maklumlah dulu jiwa remaja duk tengah jiwang-jiwang gitu.

Beli sekadar suka2 bila dah jumpa depan mata.

p/s: Jangan sesekali mempercayai apa yang tertulis pada barang tersebut...

Firman Allah SWT:

"(Dia adalah Rabb) Yang mengetahui yang ghaib. Maka Dia tidak memperlihatkan kepada seseorang pun tentang yang ghaib itu kecuali kepada Rasul yang diridlai-Nya. Maka sesungguhnya Dia mengadakan penjaga-penjaga (Malaikat) di muka bumi dan di belakangnya." (QS. Al Jin : 26-27)

Telah diriwayatkan oleh Abdullah ibn Abbas ra Rasulullah s.a.w. telah bersabda :

Sesiapa yang mengambil sebahagian dari ilmu bintang (nujum) maka sesungguhnya dia telah mengambil sebahagian dari ilmu sihir yang setiap kali bertambah ilmu bintangnya (berkaitan ramalan) maka bertambah pulalah ilmu sihirnya. (HR Abu Daud, Nasaie dan Ahmad.

Sabda Rasulullah yang berbunyi:

"Barangsiapa yang mendatangi dukun dan menanyakan tentang sesuatu lalu membenarkannya, maka tidak diterima shalatnya 40 malam." (HR. Muslim)


"Barangsiapa yang mendatangi dukun (peramal) dan membenarkan apa yang dikatakannya, sungguh ia telah ingkar (kufur) dengan apa yang dibawa Nabi Shallallahu ‘Alaihi Wa Sallam." (HR. Abu Dawud)

Sunday, January 17, 2010

Akhlak, perbuatan baik 'auto-pilot'

Posted by MOHD NAZRI ABDULLAH

Bulan Disember tahun lalu saya berkesempatan mengikuti kuliah Maghrib disampaikan oleh Ust Hasrizal Jamil.

Tajuknya 'Saya mesti muslim dari sudut AKHLAK'.

Saya menulis semula apa yang disampaikan untuk disiar dalam ruangan remaja di laman Harakahdaily.net

Berikut tulisan saya untuk manfaat semua...
____________________________________________________________

AKHLAK, perbuatan baik 'auto-pilot'

AKHLAK berasal daripada bahasa Arab `Khuluq' yang membawa kaitan dengan pekerti, tingkah laku dan perangai.

Dalam Islam, akhlak berkait rapat dengan nilai yang dihubungkan dengan ajaran Al-Quran dan sunah Nabi Muhammad S.A.W.

Selagi sesuatu perbuatan itu tidak bercanggah dengan kedua-dua sumber hukum tertinggi itu, maka ianya termasuk dalam perbincangan akhlak.

Imam Al-Ghazali mendifinisikan akhlak sebagai 'satu tindakan atau perbuatan yang terbit daripada diri secara berterusan, dan perbuatan itu lahir dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses berfikir'.

Manakala Sheikh Dr. Fathi Yakan dalam sebuah buku karangannya bertajuk Apa Ertinya Saya Menganut Islam, meletakkan 'akhlak yang mulia itu adalah objektif paling utama Islam' sejajar dengan apa yang diungkapkan oleh baginda Rasulullah S.A.W melalui sabdanya yang bermaksud:

"Sesungguhnya aku diutuskan oleh Allah SWT untuk menyempurnakan akhlak yang mulia"

Perjalanan hidup seorang muslim belum sampai ke matlamat jika gagal menjadi seorang yang berakhlak.

Biarpun dia berakidah dengan akidah Islam, beribadah dengan Ibadah Islam namun ianya masih belum sempurna tanpa satu lagi aspek iaitu akhlak Islam itu sendiri.

Untuk memahami apa yang dimaksudkan oleh Imam Al-Ghazali dalam pendifinisian beliau tentang akhlak, mari kita melihat kepada dua situasi berikut.

Situasi pertama: Ahmad ditakdirkan terserempak dengan seorang peminta sedekah ketika berjalan menuju ke stesen komuter lantas terdetik dihatinya untuk memberikan wang kepada peminta sedekah itu.

Dia kemudiannya menyedari yang dia hanya memiliki sekeping RM10 dan memerlukan separuh dari jumlah itu untuk tambang pulang ke rumah.

Setelah berfikir tentang jumlah yang wajar disumbangkan, akhirnya dia menghulurkan wang RM10 tersebut kepada peminta sedekah dan meminta dikembalikan semula RM5 kepadanya.

Situasi kedua: Azman seorang pramugara kepada sebuah syarikat penerbangan.

Mengikut profesyen dan etika kerja syarikat, Azman dikehendaki mengukir senyuman kepada setiap penumpang di dalam penerbangan bersamanya.

Sikap Azman itu bagaimanapun berbeza bila pulang ke rumah.

Senyuman sama jarang-jarang diberikan kepada anak dan isterinya.

Setiap manusia mempunya banyak sebab untuk berbuat kebaikan.

Namun perlu difahami bahawa tidak semua di antara kebaikan yang dilakukan itu boleh dikategorikan sebagai akhlak, mengapa?

Mari kita fahami dari kedua-dua situasi yang dikemukakan di atas tadi.

Pada situasi pertama, secara amnya Ahmad telah melakukan kebaikan kerana memberikan sumbangan kepada seorang insan yang memerlukan bantuan iaitu peminta sedekah tersebut.

Namun jika diteliti dengan lebih cermat, perlakuan baik Ahmad itu belum dapat dikategorikan sebagai berakhlak kerana Ahmad masih menggunakan proses pemikiran untuk menentukan jumlah yang mahu diberikan kepada peminta sedekah tersebut.

Sedangkan dalam pengertian akhlak itu menyebut 'perbuatan itu lahir dengan mudah tanpa memerlukan kepada proses berfikir'.

Pada situasi kedua pula, tindakan senyum Azman sewaktu menjalankan tugas itu merupakan satu perbuatan yang baik, apatah lagi ianya sesuatu perbuatan yang dituntut oleh Islam malah dikira sebagai sedekah.

Namun melihat kepada sikap berbeza Azman di tempat kerja dan di rumah, maka senyumannya ketika melayan penumpang belum boleh dikategorikan sebagai berakhlak.

Ia kerana perbuatan senyum Azman itu dilakukan atas dasar etika kerja dan bukan terbit dari diri sendiri tanpa memerlukan proses berfikir.

Secara kesimpulannya, akhlak adalah perbuatan baik (tidak bercanggah dengan ajaran Al-Quran dan Sunah), yang dilakukan tanpa syarat.

Atau dengan kata lain, perbuatan baik yang 'auto-pilot'.

Sumber: Kuliah kitab 'Apa Ertianya Saya Menganut Islam' oleh Ustaz Hasrizal Jamil (http://saifulislam.com)

Monday, January 11, 2010

Ka'ab dalam Menunggu Kata Dari Tuhan

Posted by MOHD NAZRI ABDULLAH

Menunggu 'Kata' Dari Tuhan, sebuah teater karya Dinsman yang diadaptasi daripada hadis riwayat Bukhari dan Muslim.

Saya menonton teater ini berkali-kali dalam roadshow pementasannya di sekitar Lembah Klang dan Kelantan.

Ianya mengisahkan seorang sahabat Nabi Muhammad s.a.w, Ka'ab Malik tidak dapat memberi alasan yang kukuh apabila tidak dapat turut serta dalam peperangan Tabuk.

Rasulullah ketika itu mengetuai peperangan Tabuk menentang Rom.

Ketika zaman Rasulullah semua individu perlu berperang.

Begitupun ada segelintir daripadanya enggan berperang dan bertemu Rasulullah untuk memohon maaf dan menyatakan alasan masing-masing kerana tidak mahu terbabit dalam peperangan.

Ka'ab berdepan dilema apabila tidak mempunyai alasan yang kukuh terbabit dalam perang itu.

Ka'ab kemudian meminta petunjuk daripada Allah supaya memberinya jalan untuk mengatasi dilema yang menghantuinya itu.

Pelbagai dugaan dan ujian dilalui Ka'ab sepanjang tempoh berkenaan.

Pementasan turut diiringi gesekan biola oleh Sani Sudin mengiringi lakonan Sabri Yunus menyampaikan sebuah hadis mengenai permasalahan Ka'ab bin Malik kerana tidak ikut berperang bersama Rasulullah, dan ujian yang dilaluinya selama 50 hari 'menunggu kata dari Tuhan'akibat dia membuat pengakuan ikhlas kepada Rasulullah.

Kisah Taubat Ka’ab ibn Malik (Analisa Fiqh Dakwah)
Sumber: www.dakwah.info

Kisah Ka’ab ini merupakan sebahagian daripada episod dalam kisah Perang Tabuk.

Ka’ab merupakan salah seorang daripada 3 mukmin yang tidak turut serta dalam kempen itu walaupun berkemampuan.

Mereka mengakui kesilapan itu dengan tidak mengemukakan apa-apa alasan apabila disoal oleh Rasul sekembalinya tentera dari kempen itu dan hanya mengaku bersalah dengan jujur.

Ini bertentangan dengan golongan Munafiqin yang tidak turut serta tetapi mengemukakan pelbagai alasan untuk melepaskan diri.

Rasululllah saw tetap menerima alasan mereka walaupun tahu tentang kemunafiqan mereka.

Taubat Kaab diceritakan dalam Surah Taubah, ayat 118. Terdapat juga sekumpulan yg betul-betul uzur dan terlepas daripada menyertai kempen ini.

Golongan ini dihuraikan dalam Surah Taubah, ayat 91.

Ka’ab dan 2 lagi mukmin ini (Mararah al Rabi’, Hilal b Umaiyah) dihukum boikot oleh Allah swt sehingga Allah swt menerima taubat mereka.

Dan Allah menerima taubat mereka pada waktu Subuh selepas berlalu malam yang ke-50.

Dalam tempoh boikot yang tidak diketahui hujungnya itu, Ka’ab menanggung beban dugaan yang sungguh besar, antaranya:

1) Orang-orang mukmin dilarang mutlak daripada berurusan dengan mereka, hatta menjawab salamnya sekalipun.

2) Isteri-isteri mereka diasingkan daripada mereka bermula dari malam yg ke-40.

3) Raja Ghassan cuba untuk menghasut Ka’ab menyertai mereka serta dijanjikan dengan habuan jika meninggalkan barisan saf muslim.

4) Cubaan untuk kekal thabat dalam iman walaupun dihukum untuk tempoh yang tidak pasti (boleh jadi diboikot sehingga akhir hayat mereka)

Boikot ini diangkat oleh Allah dengan turunnya ayat 118 surah Taubah dan keindahan ukhuwwah di kalangan mukminin jelas terpancar apabila seluruh Madinah bergembira pada subuh ayat itu diturunkan.

Mereka berkejaran mendapatkan Ka’ab untuk memaklumkan penerimaan taubatnya dan ukhuwwah mereka bersambung kembali.

Berikut merupakan isi-isi penting dari sudut Fiqh Dakwah berdasarkan kisah Ka’ab tersebut.

1. Kenapa Ka’ab dihukum?

Ekspedisi Tabuk berakhir tanpa ada satu pertempuran pun (rujuk Raheeq Makhtum) tetapi Ka’ab tetap juga dihukum.

Pada sesetengah kita, kehadiran Ka’ab tidak memberi beza pun kerana tiada pertempuran berlaku, jadi tidak perlulah dihukum sebegitu.

Dalam hal ini, bukan perjalanan sesuatu peristiwa itu yang perlu dijadikan ukuran, tetapi isu tanggungjawab dan peranan yg digalaskan itu lebih bererti, sama ada ianya dilaksanakan atau tidak.

Peranan mesti dilaksanakan dalam apa situasi sekalipun dan tanggungjawab tetap kekal sehingga sesuatu misi itu tamat.

2. Bai’ah berjihad dengan Allah

Kesilapan Ka’ab ialah melanggar Bai’ah berjihad dengan Allah .

Beliau dikira meninggalkan jihad tanpa alasan semasa kempen Tabuk - satu kesalahan yg sangat-sangat besar.

Ayat baiah berjihad terkandung di dalam surah At-Taubah, ayat 111.

3. Pengorbanan pada masa paling runcing

Keadaan Madinah pada ketika Rasul melancarkan persiapan ke Tabuk sangat meruncing. Kemarau sedang melanda, bekalan makanan berkurangan, lokasi Tabuk yang sungguh jauh, keluarga yang perlu ditinggalkan dan bermacam-macam lagi.

Semua ini benar-benar menguji pertimbangan mukminin untuk mempersiapkan diri pergi berperang.

Perasaan berbelah bagi mungkin timbul. Pengorbanan yang besar sungguh diperlukan pada ketika ini.

Mampukah kita berkorban walaupun dalam keadaan yg tersepit?

4. Ka’ab buta di hujung hayatnya

Hadith ini diriwayatkan oleh cucu Ka’ab yang menjaganya kerana beliau buta di hujung usia. Pengajarannya, para du’at tidak terlepas daripada kelemahan dan penyakit walau sehebat manapun rekod amalnya.

Jangan sesekali berasa kehebatan kita di bidang dakwah menjadi sebab Allah jauhkan penyakit dan kelemahan daripada kita.

5. Senioriti dan kesolehan bukan jaminan tidak membuat kesilapan

Jangan berasa selesa dan yakin bahawa senioriti dan kesolehan kita tidak akan membuatkan kita tersilap.

Ka’ab merupakan seorang sahabat yang agung (ahli Badar) dan senior tetapi turut tersilap dalam perkiraannya.

Hendaklah sentiasa bermusahabah dengan tindakan dan keputusan kita, dan juga bermutabaah.

Jangan lemas dalam status senior.

6. Antara Bai’ah Aqabah dan Badar

Ka’ab pernah memberitahu beliau lebih suka kepada Bai’ah Aqabah berbanding Perang Badar (kedua-duanya disertai Ka’ab) walaupun Badar lebih masyhur dan mulia.

Ini kerana Bai’ah Aqabah adalah peristiwa perjanjian (memberi bai’ah) untuk mewakafkan seluruh hidup kepada islam sebagai seorang da'ei dan jauh lebih besar ertinya, manakala peperangan merupakan sebahagian daripada perjanjian itu.

7. Kepentingan persediaan secukupnya

Peristiwa Tabuk membuktikan persediaan yang cukup amat penting terutamanya bagi sesuatu kerja yang besar.

Ini dapat dilihat apabila Rasul buat pertama kali mengumumkan destinasi peperangan, walhal dlm kempen-kempen sebelum ini Rasul sentiasa rahsiakan sehingga saat akhir.

Dan rasul juga memberi tempoh yang agak lama untuk setiap mukmin bersiap siaga.

Ini kerana Tabuk sangat jauh dan musuh kali ini ialah tentera empayar Rom.

8. Bertangguh itu bahaya

Jangan amalkan sikap ‘I can if want to do it now’, kerana itulah kesilapan Ka’ab. Ka’ab seorang yang berkemampuan tetapi sentiasa bertangguh untuk bersiap hingga semuanya sudah terlambat.

Usahakan untuk terus lakukan perkara yang mampu dilakukan terutamanya dalam bidang dakwah seperti berjumpa mad’u, menyiapkan bahan, merencana program.

9. Perselisihan pendapat itu dibolehkan

Perselisihan pendapat diterima dalam menilai kesilapan seseorang. Dalam kes Ka’ab, kaumnya dari Bani Salamiah mengkritik keras kecuaian Ka’ab tetapi Muadz Jabal mengambil pendekatan bersangka baik dan cuba mencari keuzuran Ka’ab.

Rasul tidak menegur kedua-dua sikap ini - tandanya Rasul iktiraf keduanya. Ada fiqh sendiri dalam kedua-dua sikap yang diambil dan perbezaan pendapat dibolehkan.

10. Berwaspada dengan kecenderungan memberi alasan

Allah telah membuka pekung para munafiqin yg memberi alasan tidak menyertai Tabuk (melalui ayat Quran) walaupun mereka sangka telah terlepas apabila Rasul terima alasan-alasan itu.

Para du’at hendaklah mempunyai azam kuat dan kukuh bertahan walaupun membuat silap. Kesilapan berlaku sesekali dan jalan keluar ialah dengan bertaubat, bukan dengan memberi alasan.

Ka’ab memilih jalan taubat walaupun beliau berkata ‘Akulah orang yg paling pandai dalam memberi alasan jika aku mahu ketika peristiwa itu’.

11. Kepentingan berkata benar

Ditekankan juga tentang kepentingan berkata benar - kepada diri sendiri dan kepada pemimpin.

Jawab Rasul setelah Ka’ab mengakui kesilapannya tanpa cuba memberi alasan: ‘Inilah dia org yang jujur’. Secara tidak langsung Rasul menempelak para munafiqin yang cuba membodohkan Rasul dengan alasan mereka.

Implikasi apabila tidak berkata benar itu sentiasa ada.

12. Pendirian kepimpinan terhadap kesalahan besar

Pengajaran melalui hukuman walaupun yang melakukan kesalahan itu berkata benar.

Ka’ab tetap menerima hukumannya walaupun berkata benar dan beliau tidak memberontak kerana itu.

13. Berhati-hati memberi nasihat

Berhati-hati dengan pengaruh emosi dan sentimen ketika memberi nasihat.

Dalam kisah ini, kaum Ka’ab iaitu Bani Salamiah menasihati Ka’ab agar turut memberi alasan untuk melepaskan diri sekalipun mereka berniat ikhlas dan merupakan sebahagian daripada pasukan jihad islam yang pulang dari Tabuk.

Mereka menasihati Ka’ab supaya memberikan alasan dan membaiki kesilapan itu pada masa hadapan.

Nyata nasihat mereka dipengaruhi sentimen ‘menjaga kaum kerabat’ walaupun niat mereka baik. Tidak semua nasihat baik terutamanya yang bersifat emosional.

Dan kalau cuba memberi nasihat, berilah dengan pertimbangan rasional dan adil.

14. Pertimbangan emosi dalam menerima hukuman

Hendaklah cuba sedayanya untuk menerima hukuman dan ujian Allah dengan redha dan jauhi pengaruh emosi yang berlebihan kerana selalunya pertimbangan kita cenderung untuk salah ketika dikuasai perasaan.

Dan jangan terlalu tenggelam melayan perasaan sedih dalam tempoh itu.

Ka’ab contoh keteguhan peribadi ketika menjalani hukuman walaupun cubaannya begitu berat seperti tidak dijawab salamnya oleh para mukminin termasuk sahabat paling rapat dengannya. Pemulauan mutlak oleh Nabi saw dan para sahabat.

15. Konspirasi musuh Islam sentiasa berjalan

Ka’ab menerima surat jemputan khas dari Raja Ghassan (kerajaan kafir yang kuat di semenanjung arab) untuk menyertai mereka dan dijanjikan pelbagai habuan.

Pihak musuh Islam cuba memecahkan saf muslimin dengan menghasut mereka yang dalam keadaan tersepit seperti Ka’ab supaya membelot.

Mereka yang lemah iman atau gopoh sudah tentu mudah terpengaruh, contohnya seperti sesetengah golongan di Palestin kini yang terpedaya dengan habuan segera untuk bekerjasama dengan penjajah.

Ka’ab sebaliknya memandang pelawaan itu sebagai ujian yang istimewa dari Allah khas untuknya.

16. Iltizam sepenuhnya walaupun dalam menjalani hukuman

Walaupun dalam tempoh hukuman, Ka’b tidak mengeluh atau cuba untuk berunding meringankan hukumannya.

Sebaliknya, beliau cuba untuk memastikan beliau mematuhi perintah hukuman dengan sepenuhnya.

Contohnya, apabila diberitahu beliau perlu diasingkan daripada isterinya bermula malam ke-40, Ka’ab bertanya sama ada arahan itu memerlukannya menceraikan isteri atau hanya diasingkan (akan diceraikan jika perlu).

Isterinya menawarkan diri untuk datang sesekali menguruskan makan pakainya dalam tempoh pengasingan itu tetapi disuruh oleh Ka’ab supaya jauhkan diri sehingga perintah mengatakan sebaliknya.

17. Kesabaran seorang daei sehingga Allah menyelamatkannya

Kesabaran itu pasak kepada peribadi seorang muslim. Berkat kesabaran Ka’ab, Allah menerima taubatnya setelah tamat malam ke-50 dan itulah peristiwa paling manis dalam hidupnya menurut Ka’ab.

18. Ukhuwwah yang agung

Ukhuwwahlah yg menjamin perpaduan sesama mukmin dan menghindarkan keretakan saf barisan orang-orang yang beriman.

Para sahabat yang lain berkongsi kegusaran dalam menunggu tamatnya hukuman ke atas Ka’ab dan nyata apabila diangkat hukuman itu seluruh sahabat bergembira dan berebut-rebut menemui Ka’ab untuk memberitahunya.

Ka’ab tidak lupa kepada sahabatnya Talhah yg berkejaran menemuinya lalu memeluknya dan mengumumkan berita itu dengan gembira.

Rasul turut gembira dengan penerimaan taubat Ka’ab, ‘Bergembiralah dgn hari yang paling baik pernah kau lalui’.

19. Pengorbanan dan peningkatan diri bukti taubat diterima

Ka’ab melepaskan hartanya setelah taubatnya diterima, sebagai berkorban untuk kesilapannya.

Rasul memintanya simpan sebahagian untuk keluargnya. Keteguhan Ka’ab ketika diboikot juga membuktikan peningkatan dirinya dan ini adalah hasil taubat yang diterima.

20. Tiada perkataan ‘cukup’ dalam dakwah

Jangan berasa selesa/ cukup setelah selesai sesuatu misi/objektif.

Ka’ab tidak berasa cukup dengan taubatnya walau diterima lalu sentiasa sedekahkan hartanya dengan niat menebus kesilapannya.

21. Enam peringkat keimanan muslim

Terbahagi kepada 3 peringkat mukmin dan 3 lagi peringkat munafiq.

3 peringkat mukmin:

i. taat sepenuhnya

ii. golongan yang mungkin goyah pada sesetengah keadaan/situasi tetapi diteguhkan kembali pendiriannya.

iii. tidak menyertai jihad bukan kerana lemah dari segi iman tetapi kerana ada penghalang.

3 peringkat munafiq:

i. nifaq yang berlembut tetapi tetap tidak jujur, sering beralasan untuk berlepas diri.

ii. nifaq yang berlebihan dan berani mengumumkannya. Juga berani membangkang arahan.

iii. nifaq yang berkonspirasi untuk menjatuhkan Islam - contohnya perjumpaan munafiqin di rumah Suwailim (seorang yahudi) merancang tindakan yang boleh melemahkan semangat muslim ketika kempen.

Rasul mendapat tahu tentang hal ini lalu baginda mengarahkan rumah itu dibakar.