:: Si Kidal ::

Bahagia pada hati yang tenang...

Monday, June 8, 2009

KESAN MUKTAMAR PAS 55

Posted by MOHD NAZRI ABDULLAH

Saya bukanlah seorang yang layak mengulas hal ini. Kedangkalan pemikiran saya mungkin terserlah sepanjang mengulas isu ini. Saya bukanlah seorang yang dekat dengan permasalahan dalaman PAS, sekadar memerhati dari luar. Juga tidak sehebat blogger dan penulis lain. Sekadar wartawan picisan muda yang baru mula berjinak dengan dunia politik.

Ternyata suasana selepas berakhir Muktamar PAS di Shah Alam dua hari lalu tidak sama seperti suasana berakhirnya Muktamar di Ipoh tahun lalu.

Saya hadir dan mengikuti sepanjang kedua-dua muktamar tersebut. Mungkin faktor utama perbezaan suasana ini disebabkan muktamar kali ini melibatkan pemilihan dan dahulunya tidak.

MEDIA WAJAHKAN PERTEMBUNGAN DALAM PAS

Lebih spesifik boleh saya katakan, pemilihan kali ini menampakkan pertembungan dua pihak. Saya sebolehnya tidak mahu menggunakan ungkapan itu. Pertembungan kadang kala digambarkan sebagai penentangan atau membawa faham kepada maksud perpecahan. Ungkapan itu pada PAS juga pada saya sedikit tidak wajar walaupun ianya bertepatan dengan prinsip parti yang mendaulatkan demokrasi.

Saya lebih suka ianya disebut sekadar pertandingan. Tetapi pada saya, kuasa medialah telah merubah ungkapan pertandingan kepada pertembungan dan memperlihatkan PAS sedang berpecah.Bukan itu sahaja, kalu diteliti beberapa ungkapan lain turut diperkenalkan oleh media sebelum bermula muktamar lagi. Saya cuba senaraikan sedikit istilah media yang bagi saya tidak pernah dipopularkan oleh kepimpinan mahupun ahli pas itu sendiri:

1- Menwarkan diri vs mengesahkan bertanding

Saya yakin, Pemimpin PAS mempunyai akhlak yang tinggi. Mereka tidak pernah menawarkan diri untuk bertanding jawatan parti, yang ada hanya menerima pencalonan dari kawasan dan kemudiannya membuat pengesahan untuk bertanding. Pada saya situasi itu sangat jauh untuk diertikan sebagai menawarkan diri.

2- Merebut Jawatan vs bertanding jawatan

Merebut jawatan seolah olah menggambarkan kerakusan pemimpin parti. Mungkin dalam parti lain pemimpin mereka rakus kerana bakal mendapat "projek" jika ada jawatan. namuns aya yakin dalam PAS tidak begitu.

Anda juga pernah mendengar ungkapan ini kan...

"Berjuanglah bersama PAS dengan Ikhlas. Anda tidak mungkin dapat mengumpul harta bersama PAS, malah anda mungkin terpaksa berhabis harta menyumbang untuk perjuangan ini."

Mereka juga turut mewujudkan perbezaan gologandalam PAS yang pada saya mungkin berniat jahat untuk meracuni pemikiran pembaca bahawa wujud golongan gologan tertentu dalam PAS.

3- Ulama' Konservertif vs ulama' progressif
4- Pro-Muzakarah/Pro-Muqabalah vs Anti-Muzakarah/Anti-Muqabalah

5- Golongan Profesional vs Golongan Ulama'

6- Golongan Erdogan vs Golongan Erbakan

Saya bukan mahu menyalahkan media, saya juga tidak mahu dicop anti kebebasan media. Saya sendiri pengamal media. Media tidak boleh dihalang oleh sesiapa, apatah lagi sekarang ini. Perkembangan teknologi membuatkan media terus maju ke depan. Tiada lagi yang mampu disembunyikan dari media pada zaman ini.

Saya sekadar melaporkan apa yang saya perhatikan. Mungkin ianya salah pada orang tertentu, tapi itulah yang saya dapati.

Walau apapun kaedah laporan media tentang pemilihan, Saya yakini ianya tidak mampu memecahkan PAS. Pertembungan dalam PAS tidak sama pertembungan dalam UMNO. Pertembungan dalam PAS ke arah "Fastabikul Khairaat" (berlumba lumba mengejar untuk berbuat kebaikan) dan rasanya semangat itu tidak ada dalam Umno. Apa yang ada pada Umno, biarlah anda menelahnya sendiri...

Beberapa isu dilihat masih berterusan walaupun ia sepatutnya selesai pada muktamar. Contohnya isu kerjasama dengan Umno seperti ungkapan "Kerajaan Pepaduan/ kerjasama dengan Umno/ Muqabalah/Muzakarah/ membuka rundingan dengan Umno

MUKTAMAR DAN ISU KERAJAAN PERPADUAN

Alhamdulillah, saya bersyukur apabila Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Hj Abdul Hadi Awang menangguhkan ideanya untuk mewujudkan kerajaan perpaduan selepas melihat kepimpinan dan ahli PAS masih belum memahami gagasan tersebut.

Pada pengetahuan saya, gagasan tersebut kali pertama dicetuskan oleh tokoh vateran Umno Tg. Razaliegh Hamzah beberapa tahun dahulu. Kemudian barulah presiden mengungkapnya semula pada tahun ini.

Bagaimanapun lontaran idea tersebut pada saya sudah cukup untuk meletakkan keraguan masyarakat khususnya penyokong termasuk pengundi terhadap PAS.

Faktor ahli dan penyokong tidak memahami gagsan tersebut bukan masalah besar bagi saya, namun yang lebih besar adalah seperti situasi yang saya senaraikan dibawah ini:

1- Pada saya, sebarang bentuk istilah atau ungkapan yang boleh membawa kepada maksud bekerjasama dengan UMNO/BN buat masa ini adalah tidak tepat untuk diketengahkan. Dalam keadaan rakyat mula melihat PAS dan Pakatan Rakyat pengganti kepada UMNO/BN, sewajarnya sandaran dan harapan mereka terhadap PAS tidak dicalarkan.

Anda sendiri tahu, bukan senang PAS dan Pakatan Rakyat berusaha untuk meletakkan parti ditahap ini. Ya, sememangnya kita tahu, mungkin istilah KerajaanPerpaduan tidak membawa maksud bergabung dengan UMNO, tetapi saya juga yakin sebarang bentuk hubungan dengan UMNO pada saat ini tidak akan direstu oleh rakyat, khususnya penyokong PAS. Mereka pada waktu ini bukan sekadar menyokong PAS dan Pakatan rakyat melalui undi, tetapi mereka sekarang berada pada tahap sanggup bekerja keras membantu PAS dalam menarik masyarakat untuk meninggalkan UMNO/BN.

Mana mungkin, UMNO yang mereka sumpah seranah sebelum ini akan diterima semula. Mereka tidak akan mudah menjilat ludah mereka pada UMNO. UMNO sememangnya sudah dibenci.

2- Kita juga sedia maklum, selain Datuk Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang, 3 lagi tokoh pembangkang sanjungan rakyat adalah Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Lim Kit Siang. Ketiga tiga mereka mempunyai pengaruh sebahagian besar masyarakat negara ini.

Jikalah agenda kerajaan perpaduan ini ingin direalisasikan, maka sudah tentu ketiga-tiga tokoh tadi terlebih dahulu perlu bersetuju kerana persetujuan mereka boleh dianggap persetujuan rakyat. Jika mereka bersetuju, barulah saya rasa gagasan kerajaan perpaduan boleh disebut dan dibesar besarkan. Tapi bagi saya, ianya sangat sukar berlaku. Kebarangkalian untuk ketiga-tiga tokoh tersebut bersetuju adalah sangat kecil. Mereka membesar dan matang dengan menentang kazaliman UMNO/BN sejak lama. Malah tekanan UMNO/BN kepada mereka juga bukan sedikit. Jadi saya belum nampak ruang untuk mereka bersetuju.

3- Hubungan sesama parti pakatan rakyat pada waktu ini sangat baik. Kita tidak pernah mempunyai situasi hubungan serapat ini sebelum ini. Pada saya ianya perlu dijaga bersungguh sungguh. Ya, muktamar memutuskan kita akan perkukuh hubungan dengan pakatan rakyat, namun cetusan idea kerajaan perpaduan pada saya telah membuka sedikit retak hubungan ini.

Sekarang mula timbul keraguan dikalangan rakan-rakan pakatan, adakah PAS ikhlas bersama Pakatan? Saya mungkin boleh menjawab begini...

Ya..PAS ikhlas bersama pakatan, kita sama sama akan perteguh hubungan untuk menumbangkan UMNO/BN
.

Tapi tidakkah kita melihat dengan idea kerajaan perpaduan itu seolah olah telah menukar jawapan tadi? Kini jawapannya mungkin boleh dianggap pula begini..

Ya..PAS ikhlas bersama Pakatan, tapi PAS juga perlu bersama UMNO/BN demi kepentingan Melayu Islam.

Pada saya tidak salah jawapan kedua tadi, semua parti rasanya bersetuju PAS memelihara kepentingan Melayu Islam selaran tuntutan perlembagaan. Namun mungkin tidak boleh dikatan betul adalah perkataan (perlu bersama UMNO/BN). Satu parti pun dalam pakatan rakyat tidak boleh menerima hakikat maksud perkataan itu... bagaimana ianya akan berjaya?

4- Kita juga melihat bagaimana kemarahan rakyat terhadap UMNO/BN diterjemahkan pada pilihanraya umum ke-12 lalu. Tidak cukup dengan itu, UMNO/BN dihukum lagi pada beberapa siri pilihanraya kecil berikutnya. Rampasan kuasa di Perak menambahkan lagi kemarahan rakay terhadap mereka. Lihat saja pilihanraya Bukit Gantang. UMNO/BN berkampung di sana dengan anggapan mereka ada senjata pembunuh besar iaitu isu "Nizar Derhaka" untuk menang di sana. Tapi lihatlah, kemarahan rakyat pada waktu itu membenam UMNO/BN di negeri yang baru dirampas. Tentunya anda faham apa maksudnya itu... Maka sekali lagi, saya ingin bertanya, wajarkah gagasan kerajaan perpaduan pada ketika ini?

5- Terakhir, dalam dakwaan bahawa masih ramai tidak memahami konsep kerajaan Perpaduan, saya sedikit kecewa bila tiada sebarang penjelasan untuk memahamkan mereka yang tidak faham itu. Saya juga tercari cari bagaimana bentuknya, kaedahnya, kebaikan yang bakal diperolehi PAS serta pembahagian urus tadbirnyanya. Mungkin kawan-kawan ada menjumpainya...kongsilah dengan saya...

Namun saya yakin masih ramai ahli dan penyokong PAS serupa dengan saya. Tidak faham maksud sebenar gagasan ini. Selagi tiada sebarang penjelasan grand design bagaimana kaedahnya kepada rakyat, selagi itu ianya akan ditolak.

PERKARA BERBANGKIT SELEPAS MUKTAMAR

Kita sedang menyaksikan beberapa kesan langsung dan tidak langsung wujud selepas sahaja selesai muktamar PAS tempoh hari. Media massa sedang mebuat laporan itu walaupun muktamar sudahpun selesai dua hari lalu. Ada yang betul laporan mereka itu, namun banyak juga yang cuba digambarkan sendiri oleh mereka tentang PAS. Anda tentu dapat membezakannya. Kebanyakan laporan mereka memfokuskan perpecahan dalam pakatan rakyat, dan perpecahan dalaman PAS. Namun ianya tetap memberi kesan kepada pembaca. Antara kesan yang boleh kita perhatikan adalah:

1- Rakan-rakan Pakatan Rakyat (PKR & DAP) mula mempersoal keikhlasan PAS khususnya hasrat mewujudkan Kerajaan Perpaduan. Kata mereka, idea itu tidak pernah dipersetujui oleh mereka walaupun pernah dibentang dalam mesyuarat majlis presiden Pakatan. Kesan terhadap hubungan dalam pakatan. Persepsi rakyat bahawa hubungan PR kian retak

2- PKR dan DAP persoal usul haramkan Sister In Islam yang telah diterima pada muktamar lalu. PAS dikatakan tidak menghormati semangat kebebasan bersuara. Kesan: Pas dilihat tidak menghormati perlembagaan yang dia sendiri sebelum ini menentangnya

3- PAS sekarang dikatakan terbahagi kepada dua kumpulan, satu menyokong kerjasama dan satu lagi menentang kerjasama dengan Umno. Kesan: Persepsi bahawa dalam pas sedang bergolak

4- Kelab penyokong PAS kecewa jika PAS bekerjasama dengan UMNO/BN. Kesan: mereka mungkin tidak akan bersama PAS lagi

5- Gambaran Datuk Husam Musa dan ust Nasharudin tidak sepndapat & sebulu. Kesan: sudah kedengaran Kelantan mungkin tidak benarkan Ust Nasharudin bertanding lagi di Bachok

Dan kesan paling ditakuti, pengurangan sokongan rakyat terhadap PAS dalam pilihan raya umum ke 13 nanti.

Penulisan ini adalah sekadar telahan yang belum tentu ada kebenarannya

0 comments:

Post a Comment